fb fb fb fb fb

Serangan dron Rusia ragut tiga nyawa

Foto AFP

KYIV, 24 Jun - Serangan dron Rusia membunuh tiga orang berhampiran bandar Sumy di timur laut termasuk seorang kanak-kanak berusia lima tahun.

Menurut pihak berkuasa tempatan pada Selasa, ia berlaku sehari selepas Ukraine berkata Rusia melakukan berpuluh-puluh serangan dron dan peluru berpandu ke atas wilayahnya yang membunuh 10 orang di ibu negara Kyiv.

Usaha diplomatik untuk menamatkan perang tiga tahun telah terhenti dengan pertemuan langsung terakhir antara Kyiv dan Moscow hampir tiga minggu lalu dan tiada rundingan susulan dijadualkan.

"Akibat serangan musuh, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, seorang lelaki berusia 52 tahun dan seorang wanita berusia 84 tahun meninggal dunia," kata pejabat pendakwa wilayah di Sumy.

"Enam lagi orang, termasuk dua kanak-kanak perempuan berusia 17 tahun dan seorang budak berusia 12 tahun mengalami kecederaan.

Tujuh bangunan kediaman musnah, 22 rumah dan enam kenderaan rosak," katanya.

Ketua pentadbiran tentera wilayah Sumy Oleg Grygorov berkata mayat kanak-kanak terbabit ditemukan di celah runtuhan rumah yang musnah.

Serangan dron Rusia turut menyebabkan lima orang cedera di Kharkiv serta empat lagi di wilayah Dnipropetrovsk," jelas pihak berkuasa menerusi Telegram.

Dalam perkembangan berkaitan, Rusia turut menyatakan sebuah dron telah menyasarkan sebuah bangunan kediaman di Moscow semalaman hingga mencederakan dua orang termasuk seorang wanita hamil.

“Kira-kira 100 orang telah dipindahkan dari bangunan itu termasuk 30 kanak-kanak,” menurut gabenor wilayah itu, Andrei Vorobyov.

Rusia telah menembak berpuluh-puluh dron dan peluru berpandu ke Ukraine sehari sebelumnya hingga memusnahkan blok perumahan di Kyiv.

Insiden itu membunuh 10 orang awam dan ramai lagi tertimbus di bawah runtuhan.

Serangan berasingan Rusia pada Isnin di wilayah Odesa selatan menyebabkan dua orang maut dan berdozen lagi cedera," kata pihak berkuasa tempatan.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata sebuah sekolah telah dimusnahkan dan ada orang mungkin masih terperangkap di bawah runtuhan.

NORAINI BINTI WAHIB