fb fb fb fb fb

Pasukan penyelamat kesan empat individu masih hilang di Teluk Ha Long

Sebuah bot pelancong (berwarna putih) dibawa ke pelabuhan di Teluk Ha Long, wilayah Quang Ninh, Vietnam/ REUTERS

HANOI, 21 Julai – Pasukan penyelamat Vietnam kini giat mengesan empat individu yang masih hilang selepas kejadian bot pelancong terbalik akibat ribut petir di Teluk Ha Long.

Menurut pihak berkuasa, sehingga Ahad, jumlah korban disahkan seramai 35 orang, setelah bot karam itu berjaya dinaikkan semula.

Angka tersebut merupakan semakan semula daripada laporan awal yang menyebut 38 maut. Bilangan penumpang juga dikemas kini daripada 53 kepada 49 orang.

Menurut Agensi Berita Vietnam (VNA), semua mangsa merupakan rakyat Vietnam, termasuk beberapa kanak-kanak.

"Saya diberitahu abang saya boleh berenang, tapi semuanya berlaku terlalu pantas," kata Tran Trung Tu, 39.

Insiden itu disifatkan antara yang terburuk di kawasan berkenaan sejak kebelakangan ini. Teluk Ha Long terletak kira-kira 200 kilometer timur laut Hanoi, terkenal dengan ratusan pulau batu kapur dan menarik puluhan ribu pelawat setiap tahun.

Ribut petir secara tiba-tiba itu turut merosakkan pokok-pokok di kawasan ibu negara, Hanoi. Di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, sembilan penerbangan terpaksa dilencongkan manakala tiga lagi ditangguhkan buat sementara waktu.

Seorang ejen insurans tempatan, Do Thi Thuy, berkata, insiden berkenaan adalah yang pertama kali dialami.

"Ini adalah kali pertama saya mengalami insiden yang melibatkan begitu ramai mangsa di kawasan ini," katanya.

Kerajaan Vietnam memaklumkan kejadian berlaku sekitar pukul 2.00 petang Sabtu itu disebabkan ribut 'secara tiba-tiba' disertai hujan lebat, angin kencang dan panahan petir.

Kejadian berlaku hanya beberapa jam sebelum Taufan Wipha dijangka membadai utara Vietnam. Ketika ini, taufan tersebut sedang menghampiri Hong Kong.

Pasukan penyelamat terdiri daripada polis, pengawal sempadan, penyelam dan anggota tentera laut terus menjalankan operasi menyelamat meskipun berdepan cabaran penglihatan terhad. - REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI