BAGHDAD, 24 Jun- Pangkalan tentera milik Amerika Syarikat di Iraq diserang dron tidak dikenali awal pagi tadi. Perkara itu disahkan jurucakap keselamatan kerajaan, Saad Maan.
Menurut Maan, serangan pertama itu mengenai sistem radar di pangkalan Taji dan hanya mengalami kerosakan kecil.
Manakala satu lagi dron dilaporkan terjatuh di daerah Radwaniya, iaitu sepuluh kilometer ke barat Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad.
Butiran lanjut mengenai serangan, tidak dikongsikan.
Leftenan Jeneral Walid al-Tamimi pula memberitahu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat artikel ini dikeluarkan. Tiada pihak mengaku mendalangi serangan tersebut.
Serangan itu berlaku beberapa jam selepas Iran melancarkan peluru berpandu ke atas kemudahan tentera Amerika Syarikat (AS)di Qatar sebagai tindak balas terhadap pengeboman sekutu Israel ke atas kemudahan nuklear Tehran. -AFP