fb fb fb fb fb

Huthi umum sokongan penuh terhadap Iran

Foto AFP

SANAA, 24 Jun- Kumpulan Huthi di Yaman mengisytiharkan sokongan penuh terhadap Iran, susulan serangan udara Amerika Syarikat (AS) ke atas kemudahan nuklear Iran dan sambil memberi amaran tindakan ketenteraan terhadap kepentingan AS di rantau itu.

Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas tiga fasiliti nuklear utama Iran di Fordow Natanz dan Isfahan.

Kumpulan Huthi menyifatkan serangan itu sebagai peningkatan serius yang mengancam kestabilan serantau.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan AS terhadap Iran. Kami melihatnya sebagai sebahagian daripada jenayah sejarah Barat yang berpunca daripada pemikiran penjajahan. Kami mengisytiharkan sokongan penuh kepada Iran,” kata Penasihat Majlis Politik Tertinggi Huthi, Mohammad Taher Anam.

Tambah beliau, sekiranya Amerika Syarikat melancarkan serangan susulan, kumpulan tersebut tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ketenteraan di Laut Merah, termasuk menyasarkan kapal perang Amerika Syarikat.

Ketegangan itu menambah kebimbangan dalam kalangan rakyat Yaman yang sememangnya berhadapan dengan konflik berpanjangan dan krisis kemanusiaan.

“Kami sebagai rakyat dan sebahagian daripada umat Arab dan Islam, mengecam serangan Amerika ke atas Iran. Serangan ini hanya akan memperluaskan lagi konflik di rantau ini,” kata penduduk Sanaa, Issa al-Sayani.- REUTERS

ROSLINA BINTI DIN