fb fb fb fb fb

Pandemik belum berakhir walaupun kes COVID-19 menurun': EMA

(Ketua Pegawai Perubatan EMA, Steffen Thirstrup/AFP)

THE HAGUE, 21 September- Badan pemerhati ubat-ubatan Eropah memberi amaran, walaupun kes harian COVID-19 dan kadar kematian menurun, pandemik "masih berterusan".

Sehubungan itu negara-negara di rantau Eropah digesa supaya melancarkan program suntikan vaksin dos penggalak sebelum musim sejuk.

Data yang dikumpul sejak beberapa minggu lalu "menunjukkan bahawa terdapat penurunan dalam jumlah keseluruhan kes dan kematian yang disebabkan oleh COVID-19 di Eropah," kata Ketua Ancaman Kesihatan Biologi dan Strategi Vaksin Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA), Marco Cavaleri .

"Bagaimanapun apabila musim luruh menghampiri kita perlu bersedia untuk gelombang baharu jangkitan sejajar dengan trend yang ditunjukkan oleh virus itu dalam dua tahun lalu," tambah beliau

Ahad lepas, Presiden Joe Biden dalam temu bual yang disiarkan oleh CBS berkata wabak itu telah berakhir di Amerika Syarikat.

"Pandemik telah berakhir. Kami masih mempunyai masalah dengan COVID-19. Kami masih melakukan banyak kerja mengenainya  tetapi wabak itu telah berakhir," kata Biden dalam program berita CBS "60 Minit".

EMA yang berpangkalan di Amsterdam bagaimanapun berkata ia masih menganggap pandemik masih berterusan di benua Eropah.

(Seorang pekerja penjagaan kesihatan menyediakan satu dos vaksin Sinovac Biotech China
untuk COVID-19/REUTERS)

"Apa yang jelas kepada saya dan apa yang sepatutnya jelas daripada pembentangan Dr Cavaleri ialah kami di Eropah masih menganggap wabak itu sebagai berterusan," kata Ketua Pegawai Perubatan EMA, Steffen Thirstrup.

"Adalah penting bagi negara anggota menyediakan program vaksinasi terutama dos penggalak untuk mencegah penyakit ini merebak di Eropah," katanya.

EMA minggu lepas meluluskan vaksin pertama -- versi penyesuaian Pfizer/BioNTech's Comirnaty untuk menyasarkan subvarian BA.4 dan BA.5, Omicron.

Vaksin itu juga menyasarkan "strain asal SARS-CoV-2" dan diluluskan 11 hari selepas badan pemerhati dadah meluluskan vaksin Pfizer dan Moderna bagi subvarian BA.1.-AFP

Media Baharu