GAZA, 17 Oktober - Perdana Menteri Palestin, Mohammad Mustafa, pada Khamis mengumumkan pelan tiga fasa bagi pemulihan dan pembinaan semula Gaza yang musnah akibat perang, dengan kos dianggarkan mencecah AS$67 bilion dalam tempoh lima tahun.
Berucap pada mesyuarat bersama rakan-rakan antarabangsa di ibu pejabat kabinet di bandar Ramallah, Tebing Barat, Mustafa berkata, kerajaan Palestin telah menubuhkan satu rangka kerja penyelarasan menyeluruh bagi usaha pembinaan semula melalui Gaza Recovery and Reconstruction Implementation Program berasaskan Arab Plan for Recovery, Reconstruction and Development in Gaza yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak Arab Luar Biasa di Kaherah, Mesir pada Mac lalu.
Menurut beliau, penilaian antarabangsa mendapati jumlah kerosakan dan kerugian akibat perang dua tahun di Gaza telah melebihi AS$67 bilion.
Program pembinaan semula itu dijangka mengambil masa lima tahun dengan kos keseluruhan AS$67 bilion, merangkumi 56 subprogram dalam 18 sektor termasuk perumahan, perkhidmatan sosial dan infrastruktur. Pelaksanaannya akan dijalankan dengan kerjasama rapat antara kementerian dan institusi Palestin serta rakan antarabangsa, jelas Mustafa.
Beliau berkata, program lima tahun itu dibahagikan kepada tiga fasa. Fasa pertama ialah tempoh enam bulan bagi pemulihan awal bernilai AS$3.5 bilion; fasa kedua melibatkan tempoh tiga tahun bagi kerja-kerja pembinaan semula dan pemulihan bernilai sekitar AS$30 bilion, manakala fasa ketiga ialah fasa pembangunan semula sepenuhnya.
Susulan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata di Gaza, satu mesyuarat khas mengenai pembinaan semula wilayah itu akan diadakan pada November di Kaherah bagi mewujudkan platform pusat untuk menggerakkan sumber antarabangsa, membina rangka kerjasama pelbagai pihak, serta mempercepat proses pembangunan semula Gaza, ujar Mustafa.
Beliau menegaskan bahawa semua usaha berkenaan mesti diterajui dan diselaras oleh Pihak Berkuasa Palestin dengan pemantauan daripada rakan-rakan antarabangsa.
Menurut Mustafa, proses pembinaan semula juga akan memperkukuh hubungan antara Semenanjung Gaza dan Tebing Barat bagi memulihkan semula kerangka pentadbiran Palestin yang bersatu.
Sementara itu, Wakil Khas Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bagi Bantuan kepada Rakyat Palestin, Jaco Cilliers, berkata perang selama dua tahun di Gaza telah meninggalkan sekitar 55 juta tan runtuhan — bersamaan dengan jumlah jisim 13 Piramid Giza di Mesir.
Langkah pertama, katanya, ialah membersihkan runtuhan bagi membolehkan usaha pembinaan semula dijalankan, dengan keutamaan segera diberikan kepada kerja-kerja membersihkan jalan bagi memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan.
Namun, proses pembersihan runtuhan itu berdepan cabaran besar termasuk keperluan untuk melupuskan bahan letupan yang tidak meletup dengan selamat bagi melindungi keselamatan pekerja dan orang awam, tambah beliau.-REUTERS