BUCHAREST, 17 Oktober- Sekurang-kurangnya dua maut manakala 12 lagi cedera dalam satu letupan di sebuah bangunan pangsapuri lapan tingkat di Bucharest, Romania pada Jumaat.
Menurut laporan media tempatan, insiden tersebut turut menyebabkan beberapa tingkat bangunan runtuh manakala pasukan penyelamat masih meneruskan operasi mencari mangsa yang dipercayai terperangkap di lokasi kejadian.
Memetik sumber portal berita Hotnews.ro, letupan berkenaan menyebabkan dua tingkat bangunan runtuh sepenuhnya dan turut menjejaskan struktur tingkat lain di bawahnya.
Hentaman kuat turut memecahkan tingkap sebuah sekolah menengah berhampiran.
Sementara itu, portal Biziday.ro yang memetik kenyataan perkhidmatan kecemasan dan Kementerian Kesihatan Romania melaporkan, 12 mangsa cedera telah dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.
Punca letupan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Pasukan penyelamat kini meneruskan usaha mencari dan menyelamat bagi memastikan tiada mangsa lain terperangkap di bawah runtuhan. -REUTERS