ANTANANARIVO, 17 Oktober- Ketua kudeta Madagascar, Kolonel Michael Randrianirina mengangkat sumpah sebagai Presiden pada Jumaat selepas tentera mengambil alih kuasa di negara kepulauan itu susulan protes besar-besaran diketuai golongan belia yang memaksa bekas Presiden, Andry Rajoelina melarikan diri.
Upacara angkat sumpah berlangsung di Mahkamah Perlembagaan Tertinggi negara tersebut.
Rajoelina sebelum ini digulingkan selepas Parlimen meluluskan usul pemecatan sejurus beliau melarikan diri ke luar negara hujung minggu lalu.
Bekas presiden itu bagaimanapun menolak untuk meletak jawatan secara rasmi dan mengecam tindakan rampasan kuasa tersebut meskipun menerima tekanan besar susulan pembelotan dalam pasukan keselamatan.
Kesatuan Afrika (AU) dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres turut mengecam rampasan kuasa itu yang tercetus selepas beberapa minggu protes besar-besaran diketuai generasi muda. -REUTERS