fb fb fb fb fb

Bot migran karam di Greece, dua maut dan 10 cedera

Foto Fail/AFP

ATHENS, 17 Oktober- Dua wanita ditemukan maut pada Jumaat di kawasan berbatu di pantai Pulau Chios, Greece selepas sebuah bot buatan sendiri yang membawa 29 migran karam berhampiran pantai.

Jurucakap pengawal pantai memberitahu AFP, semasa operasi menyelamat dijalankan, dua wanita ditemukan tidak bernyawa manakala 10 individu lain termasuk tiga yang cedera parah telah dihantar ke hospital di Chios untuk rawatan lanjut.

Pulau-pulau Aegean Greece yang terletak berhampiran Turkiye termasuk Chios, merupakan antara laluan utama kemasukan ke Eropah bagi pelarian yang melarikan diri daripada konflik dan kemiskinan.

Namun, perjalanan berbahaya merentasi laut itu sering berakhir dengan tragedi.

Pada 7 Oktober lalu, empat mayat ditemukan berhampiran Pulau Lesbos selepas sebuah bot getah yang membawa 38 migran karam.

Greece dilaporkan menyaksikan peningkatan ketara ketibaan migran sepanjang musim panas tahun ini, kebanyakannya dari Libya dan mendarat di Crete.

Kerajaan konservatif Greece yang telah mengetatkan dasar migrasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pada awal Julai lalu menggantung sementara selama tiga bulan permohonan suaka bagi pendatang yang tiba melalui laut dari Afrika Utara.

Langkah itu menerima kecaman daripada pelbagai pertubuhan antarabangsa termasuk Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Majlis Eropah. -AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM