KHAN YUNIS, 17 Oktober- Penduduk Palestin di Khan Yunis beratur panjang untuk mengenal pasti mayat ahli keluarga mereka selepas Israel menyerahkan 30 mayat kepada pihak berkuasa Gaza pada Khamis.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sebanyak 120 mayat telah dipulangkan sejak Isnin lalu.
Israel menyimpan mayat rakyat Palestin yang terbunuh sejak 7 Oktober 2023 termasuk pejuang Hamas.
Namun, proses pengecaman menjadi amat sukar kerana kekurangan peralatan dan teknologi forensik.
“Kemudahan kami sangat terhad. Kami tiada ujian DNA, makmal atau peralatan khusus,” kata Ahmad Thahir, seorang doktor yang terlibat dalam proses pengecaman.
Katanya, keluarga menjadi satu-satunya sumber untuk mengenal pasti mayat.
Antara yang menunggu ialah Ghada Musbeh, wanita Palestin yang mencari suaminya.
Beliau merayu agar pihak antarabangsa campur tangan bagi membantu proses pengecaman mayat dengan lebih tepat.
Menurut pihak berkuasa tempatan, perang Gaza-Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 67,000 penduduk Gaza setakat ini, dengan ribuan lagi masih tertimbus di bawah runtuhan. -REUTERS