TOKYO, 17 Oktober - Bekas Perdana Menteri Jepun, Tomiichi Murayama, meninggal dunia pada Jumaat pada usia 101 tahun. Beliau dikenang sebagai pemimpin yang mengeluarkan permohonan maaf bersejarah atas tindakan agresif Jepun semasa Perang Dunia Kedua; satu kenyataan penyesalan yang kemudiannya menjadi penanda aras bagi pemimpin-pemimpin selepasnya.
Murayama dilaporkan meninggal dunia akibat sakit tua di sebuah hospital di daerah kelahirannya.
Murayama mengetuai kerajaan campuran yang tidak menentu antara Parti Demokratik Liberal (LDP) yang konservatif dan Parti Sosialis Jepun dari tahun 1994 hingga 1996. Tempoh pentadbirannya menyaksikan pelbagai krisis besar, termasuk gempa bumi dahsyat di barat Jepun pada 1995 serta serangan gas sarin oleh kumpulan ajaran sesat di laluan kereta api bawah tanah Tokyo.
Namun begitu, Murayama paling dikenali melalui kenyataannya pada 15 Ogos 1995, ketika beliau menggunakan bahasa yang belum pernah digunakan sebelum itu untuk memohon maaf atas tindakan Jepun semasa perang yang meninggalkan kesan mendalam terhadap hubungan dengan negara-negara Asia.
“Dalam tempoh tertentu yang tidak begitu lama dahulu, Jepun, akibat dasar kebangsaan yang silap, telah menuju ke arah perang... dan melalui penjajahan serta tindakan agresifnya, menyebabkan kerosakan dan penderitaan besar kepada rakyat banyak negara, khususnya negara-negara Asia,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di seluruh negara.
“Saya dengan rendah hati mengakui hakikat sejarah ini, dan di sini sekali lagi saya menyatakan rasa penyesalan mendalam serta memohon maaf dengan sepenuh hati,” tambahnya.
Kenyataan itu disambut baik oleh Amerika Syarikat serta banyak negara Asia, termasuk Korea Selatan dan China, yang masih menyimpan memori pahit terhadap penjajahan Jepun semasa konflik berkenaan.
Murayama, yang bertubuh tinggi dan kurus serta dikenali dengan kening tebal berwarna putih pada usia lanjutnya, dilahirkan di wilayah Oita, selatan Jepun. Beliau berasal daripada keluarga nelayan dan mempunyai 11 beradik.-REUTERS