KAHERAH, 5 Mac- Pemimpin negara Arab berpendapat Palestin perlu ditadbir bawah pimpinan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dalam usaha membangunkan semula Gaza.
Dalam kenyataan akhir pada Sidang Kemuncak Tergempar Negara Arab di Kaherah, para perwakilan turut mengalu-alukan cadangan pembentukan Jawatankuasa Pentadbiran Gaza di bawah payung Kerajaan Palestin.
Namun, ia perlu diketuai pemimpin berwibawa dari wilayah itu semasa tempoh peralihan.
Pemimpin Arab juga bersetuju untuk menubuhkan dana amanah yang akan membiayai pembinaan semula Gaza dan menggesa sumbangan antarabangsa untuk mempercepatkan proses pembinaan semula negara yang dilanda konflik itu.
Dana amanah yang akan ditubuhkan itu boleh menerima pembiayaan daripada semua negara serta institusi pembiayaan.
Dalam pada itu, Hamas menerusi kenyataan turut mengalu-alukan rancangan yang diterima pakai oleh pemimpin Arab untuk pembinaan semula Gaza dan penubuhan jawatankuasa untuk menyelia pembinaan semula dan tadbir urus di wilayah Palestin.
“Kami mengalu-alukan pelan pembinaan semula Gaza yang diterima pakai dalam kenyataan akhir sidang kemuncak itu dan menyeru untuk memastikan semua sumber yang diperlukan untuk kejayaannya", katanya.
Hamas turut menyatakan sokongan untuk pembentukan Jawatankuasa Sokongan Komuniti untuk menyelia usaha bantuan, pembinaan semula dan tadbir urus di Gaza.- AFP