fb fb fb fb fb

Pakistan lancar serangan ketenteraan, sasaran pangkalan India

Foto Reuters

ISLAMABAD, 10 Mei - Pakistan pada awal Sabtu melancarkan operasi ketenteraan terhadap India, menyasarkan beberapa pangkalan termasuk tapak simpanan peluru berpandu BrahMos di utara India, ketika konflik kedua-dua negara memuncak.

Serangan itu susulan dakwaan Pakistan bahawa India telah melancarkan peluru berpandu ke atas tiga pangkalan udara Pakistan, termasuk berhampiran Islamabad.

Pertahanan udara Pakistan memintas sebahagian besar serangan tersebut.

Tentera Pakistan memaklumkan Pangkalan Udara Pathankot dan Stesen Udara Udhampur di India turut diserang.

Operasi dinamakan “Operasi Bunyanun Marsoos”, merujuk kepada struktur yang kukuh dan bersatu.

Bunyi letupan dilaporkan di Srinagar, Jammu, Lahore dan Peshawar. Tentera Pakistan menyatakan hanya beberapa peluru berpandu melepasi pertahanan dan tiada aset udara terjejas.

Pertempuran tercetus sejak Rabu selepas India menyerang pangkalan militan di Pakistan sebagai balasan terhadap serangan maut ke atas pelancong Hindu di Kashmir. Pakistan menafikan penglibatan dan berikrar membalas.

Sejak itu, kedua-dua negara berbalas tembakan rentas sempadan, serangan meriam, dron dan peluru berpandu. Sekurang-kurangnya 48 orang disahkan terbunuh di kedua-dua pihak.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN