fb fb fb fb fb

Konflik India-Pakistan memuncak, penduduk Kashmir terperangkap

Foto Reuters

KASHMIR, 10 Mei - Beberapa bangunan dan kenderaan di Kashmir yang ditadbir India dilaporkan mengalami kerosakan pada Jumaat susulan pertempuran berterusan antara India dan Pakistan, yang kini dianggap sebagai konflik terburuk antara kedua-dua negara dalam tempoh hampir tiga dekad.

Menurut seorang penduduk tempatan dari Rajouri yang enggan dikenali, ratusan penduduk terpaksa berlindung di dalam kubu bawah tanah sepanjang malam ekoran serangan meriam berat yang berlaku di kawasan itu.

“Kami mendengar letupan sepanjang malam dan semua orang bergegas masuk ke dalam bunker untuk berlindung,” katanya kepada agensi berita ANI, rakan media Reuters.

India dan Pakistan, yang terlibat dalam pertikaian berpanjangan berhubung wilayah Kashmir, telah berbalas serangan setiap hari sejak Rabu, 7 Mei.

Pada hari tersebut, India melancarkan serangan ke dalam wilayah Pakistan ke atas tapak yang disifatkannya sebagai pangkalan pejuang.

Pakistan pula memberi amaran bahawa pihaknya akan membalas serangan tersebut.

Setakat ini, dianggarkan sekitar 48 orang terbunuh sejak konflik meletus Rabu lalu. Angka korban itu diperoleh dari kedua-dua belah sempadan namun belum disahkan secara bebas.

Susulan pertempuran yang semakin memuncak, pelancong dan penduduk kampung dilaporkan melarikan diri dari kawasan sempadan.

Penduduk tempatan pula bergegas menyimpan bekalan makanan dan diminta kekal berada di dalam rumah di Kashmir dan kawasan sekitarnya sebagai langkah berjaga-jaga.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN