fb fb fb fb fb

Operasi mencari dan menyelamat dihentikan, tumpuan beralih kepada mangsa gempa

Khemah sementara didirikan untuk penduduk terjejas gempa di daerah Tingri, di Shigatse/ Reuters

BEIJING, 9 Januari- Pihak berkuasa memindahkan lebih 45,000 penduduk di Tibet ke tempat perlindungan dalam operasi menyelamat besar-besaran berhampiran kaki pergunungan Himalaya selepas dilanda gempa bumi pada Selasa.

Operasi pencarian dalam persekitaran altitud tinggi dihentikan berikutan kemungkinan mangsa hidup adalah tipis.

Gegaran itu turut menggegarkan bangunan di Nepal dan beberapa bahagian di India. Ia juga memusnahkan lebih 3,600 rumah di sekitar Tingri.

Menurut pakar, mereka yang terperangkap bawah runtuhan selepas 48 jam gempa berlaku berkemungkinan meninggal dunia akibat hipotermia, dengan suhu turun kepada -18 darjah Celsius pada sebelah malam.

Menurut data media kerajaan China sekurang-kurangnya 126 individu terbunuh manakala 188 lagi cedera dan angka berkenaan tidak berubah hingga Khamis.

Operasi menyelamat memberi tumpuan kepada 27 kampung dalam radius 20 km dari Tingri, menurut agensi berita kerajaan Xinhua. Kawasan itu merupakan penempatan bagi 7,000 penduduk.

Pegawai China menamatkan operasi pencarian pada Rabu dan memberi tumpuan kepada penempatan lain. Selain itu penduduk 407 penduduk yang diselamatkan dari runtuhan diberikan rawatan segera.

Namun pihak berkuasa masih belum menyatakan jumlah sebenar penduduk yang masih hilang.- Reuters

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI