fb fb fb fb fb

Jualan kenderaan elektrik, hibrid di China cecah 40.7 peratus pada 2024

Foto fail kereta elektrik BYD sebelum dieksport/ AFP

BEIJING, 9 Januari- Jualan kenderaan elektrik dan hibrid melonjak lebih 40 peratus di China tahun lepas, berikutan permintaan untuk model tenaga boleh baharu terus meningkat.

Pasaran kenderaan elektrik China menyaksikan pertumbuhan pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, didorong subsidi dari Beijing.

Tetapi pasaran automotif terbesar dunia juga menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan pengeluar kereta domestik kerana kelembapan penggunaan mendorong perang harga yang menjejaskan keuntungan syarikat pengeluar.

Pada 2024, hampir 11 juta kenderaan tenaga boleh baharu (NEV) dijual sekali gus merekodkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 40.7 peratus, kata Persatuan Kereta Penumpang China (CPCA) pada Khamis.

NEV menyumbang hampir separuh daripada semua jualan tahun lepas, kata persatuan itu.

Menurut Persatuan Pengilang Automobil Eropah kenderaan itu menyumbang hanya 22.6 peratus daripada jualan di pasaran Eropah pada November.

Di China, jualan NEV melepasi 1.3 juta unit pada Disember menurut data dikeluarkan CPCA. Ia meningkat 37.5 peratus tahun ke tahun dan mewakili jualan bulan kelima berturut-turut melebihi satu juta.

Jumlah kenderaan NEV yang dijual tahun lepas di pasaran China meningkat 5.5 peratus, mencecah hampir 22.9 juta unit, kata CPCA.

Bagi syarikat kenderaan elektrik (EV), perang harga mungkin akan berterusan pada tahun baharu, kata setiausaha agung CPCA Cui Dongshu semasa sidang akhbar pada Khamis.

Lebih daripada 200 model kereta menyaksikan pemotongan harga tahun lepas, berbanding 148 pada 2023, tambah Cui.

Syarikat Build Your Dreams (BYD) muncul sebagai peneraju EV dalam pasaran China yang menjual lebih daripada empat juta kenderaan di seluruh dunia pada 2024.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI