(Seorang wanita Palestin menggantung pakaian di rumahnya yang
turut rosak diserang Israel/FOTO REUTERS)
GAZA, 8 Ogos - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Dunia Islam (MWL) mengutuk tindakan Israel menyerbu kompleks Masjid Al Aqsa di Baitulmaqdis Timur dan serangan berterusan ke atas Gaza.
Sekretariat Agung OIC dalam satu kenyatan turut mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ratusan pendatang haram Yahudi yang mencemar kesucian Masjid Al-Aqsa dan dilindungi rejim.
Organisasi itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang, resolusi dan perjanjian antarabangsa.
Meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada Israel terhadap kejadian itu, organisasi tersebut juga memberi amaran bahawa serangan berterusan akan memburukkan lagi ketegangan dan mendorong ke arah keganasan berterusan dan ketidakstabilan.
OIC juga menyeru masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) bertindak segera bagi menghentikan serangan.
(Seorang wanita sedang menenangkan seorang kanak-kanak ketika pengebumian empat remaja Palestin yang terkorban/FOTO REUTERS)
Nada sama turut diluah Liga Dunia Islam (MWL) yang mengecam provokasi serius terhadap kesucian tapak-tapak suci Islam oleh tentera Israel.
MWL mahu semua pihak berusaha untuk merealisasi keamanan yang adil serta menyeluruh dan menghentikan semua amalan yang menjejaskan peluang keamanan di rantau berkenaan. - REUTERS