fb fb fb fb fb

Nigeria rampas dadah bernilai AS$3 juta di lapangan terbang Lagos

Nigeria sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi titik transit bagi kumpulan untuk memindahkan dadah antara Amerika Selatan dan Eropah/ Foto: AFP

ABUJA, 24 September- Pegawai Nigeria merampas 19.4 kilogram (kg) kokain bernilai 4.66 bilion naira (AS$2.93 juta, RM12.17 juta) daripada seorang penumpang yang tiba di lapangan terbang Lagos dari Ethiopia, kata agensi antidadah negara itu hari ini.

Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Dadah Kebangsaan (NDLEA) berkata, mereka menahan seorang ahli perniagaan Nigeria berusia 48 tahun dan sebelum ini pernah disabitkan kesalahan mengedar dadah tahun lalu, namun membayar denda untuk mengelak daripada dipenjarakan, pada 18 September.

Dia didakwa membawa 817 bungkus kokain.

Nigeria menjadi negara paling ramai penduduk di Afrika dengan lebih 200 juta orang dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi titik transit bagi kumpulan untuk memindahkan dadah antara Amerika Selatan dan Eropah.

Ketua NDLEA, Mohammed Buba Marwa dalam satu kenyataan, berkata agensi itu akan terus berusaha untuk mengganggu aktiviti kartel dadah yang beroperasi di negara ini. - REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI