(FOTO AFP)
KANO, 31 Julai- Pihak berkuasa di negeri Adamawa timur laut Nigeria mengenakan perintah berkurung di seluruh negeri untuk menghentikan rompakan kedai makanan yang berleluasa di ibu negeri Yola.
Rompakan itu menyaksikan ratusan penduduk memecah masuk ke gudang awam dan persendirian untuk melarikan bijirin dan komoditi lain.
"Gabenor negeri Adamawa, Ahmadu Umaru Fintiri telah mengisytiharkan perintah berkurung 24 jam di negeri itu, berkuat kuasa serta-merta Ahad 30 Julai, 2023," kata jurucakap gabenor, Humwashi Wonosikou dalam satu kenyataan.
Yahaya Nguroje, jurucakap polis negeri Adamawa, berkata anggota keselamatan telah dikerahkan supaya menguatkuasakan perintah berkurung.
Bulan lalu Nigeria, negara paling ramai penduduk di Afrika dan ekonomi terbesar di benua itu, menamatkan rejim subsidi bahan bakar, menyebabkan harga petrol meningkat empat kali ganda dan harga makanan melambung tinggi.
Ekonomi Nigeria lemah akibat kemelesetan dan kejatuhan daripada COVID-19, menyukarkan kehidupan 215 juta rakyatnya, hampir separuh daripadanya hidup dengan kurang daripada US$2 sehari.
Rakaman video dalam talian menunjukkan penduduk Yola merompak guni bijirin, karton pasta dan barangan rumah lain dari sebuah gudang agensi pengurusan kecemasan Nigeria (NEMA).
Rampasan itu mendorong NEMA meletakkan gudangnya di seluruh Nigeria dalam keadaan berjaga-jaga untuk mencegah kemungkinan rompakan, menurut sumber agensi.
Awal tahun ini Pertubuhan Bangsa Bersatu meramalkan bahawa lebih 25 juta rakyat Nigeria akan berhadapan risiko tinggi "darurat" makanan pada 2023. -AFP
(Ahmadu Umaru Fintiri/Wikipedia)