fb fb fb fb fb

Enam maut pertempuran di kem pelarian Palestin di Lubnan

(FOTO REUTERS)

SIDON, 31 Julai- Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dalam pertempuran di kem pelarian Ain al-Helweh Palestin yang bergolak di selatan Lubnan, kata pergerakan Fatah pimpinan Presiden Palestin Mahmud Abbas dan sumber di kem itu.

Pertempuran semalaman antara Fatah dengan kumpulan militan al-Shabab di kem itu reda menjelang petang.

Seorang ketua tentera Fatah dan empat rakannya dilaporkan maut.

Sumber Palestin di dalam kem itu, yang enggan namanya disiarkan, berkata seorang anggota al-Shabab turut terbunuh dan enam yang lain termasuk ketua kumpulan itu cedera.

Agensi berita rasmi Lubnan, NNA dalm laporan awal memaklumkan bahawa enam maut dan lebih 30 cedera di Ain al-Helweh, kem terbesar daripada 12 kem pelarian Palestin di Lubnan yang terletak hanya di tenggara bandar pesisir pantai Sidon.

NNA melaporkan peluru sesat juga merosakkan rumah di luar kem.

(Enam maut pertempuran di kem pelarian Palestin di Lubnan/AFP)

Fatah dalam satu kenyataan mengesahkan kematian komander Ashraf al-Armouchi dan empat "rakan seperjuangannya" semasa "operasi keji" militan.

Kenyataan itu mengecam "jenayah keji dan pengecut" yang bertujuan untuk menjejaskan "keselamatan dan kestabilan" kem Palestin di Lubnan.

Seorang askar Lubnan juga cedera, terkena serpihan daripada "peluru mortar yang jatuh di salah satu pos tentera", menurut pihak tentera di Twitter.

Keadaannya dilaporkan stabil.

Perdana Menteri Lubnan Najib Mikati dalam satu kenyataan menyebut masa pertempuran itu "mencurigakan dalam konteks serantau dan antarabangsa semasa".

Mikati mengkritik "percubaan berulang untuk menggunakan Lubnan" sebagai medan pertempuran untuk menyelesaikan perselisihan luar "dengan mengorbankan negara Lubnan dan rakyat Lubnan".

“Kami menggesa kepimpinan Palestin supaya bekerjasama dengan tentera untuk mengawal keadaan keselamatan dan menyerahkan kepada pihak berkuasa Lubnan anggota militan yang menyerah diri,” tambah kenyataannya.

Gencatan senjata telah dipersetujui mulai 6:00 petang (1500 GMT) semasa mesyuarat puak Palestin termasuk Fatah, yang turut dihadiri anggota pergerakan Amal dan Hizbullah Lubnan, kata kenyataan bersama selepas itu. -AFP

 

Media Baharu