BAITULMAQDIS, 6 November- Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dengan angkuh menolak gesaan yang semakin meningkat untuk gencatan senjata di Gaza, sambil pakar ketenteraan Zionis mengatakan mereka bakal memperhebat operasi terhadap Hamas.
Namun dalam masa sama menuntut semua lebih 240 tebusan yang ditawan oleh Hamas dipulangkan.
Tentera Israel dikatakan telah menggunakan gabungan tentera darat, bersama-sama dengan kekuatan udara dan tentera laut untuk menggempur Gaza dan memperluas pencerobohan dari kawasan sedia ada, bertujuan untuk memusnahkan infrastruktur Hamas dan membunuh pemimpin kanan, serta sistem perintah dan kawalannya.
Zionis mendakwa pasukannya telah menembusi jauh ke Gaza, mengelilingi bandar dan terlibat dalam pertempuran dengan pejuang Hamas.
Timbalan ketua Majlis Keselamatan Negara Israel, Itamay Yaar, turut mendakwa pada masa ini tentera tidak menghadapi tekanan masa yang sama seperti dalam operasi sebelum ini di Gaza.
Malah, menurutnya operasi semasa akan diselesaikan dalam tempoh tiga hingga empat minggu.
Sementara itu Menteri-menteri luar dari Qatar, Arab Saudi, Mesir, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu bertemu Setiausaha Negara AS Antony Blinken di Amman, Jordan pada hari Sabtu dan menggesa beliau untuk memujuk Israel supaya bersetuju dengan gencatan senjata.
Sebelum ini, Presiden Palestin Mahmoud Abbas menuntut gencatan senjata segera dilaksanakan ketika beliau bertemu Blinken semasa lawatan mengejut diplomat tertinggi AS itu ke Tebing Barat yang diduduki Israel.
Blinken, di rantau itu buat kali kedua dalam tempoh kurang sebulan sebagai sebahagian daripada usaha AS untuk menghalang konflik daripada terus memuncak; namun Israel telah menolak gesaan gencatan senjata.
Israel mendakwa gencatan senjata hanya akan membenarkan Hamas untuk berkumpul semula, tetapi telah cuba meyakinkan Israel untuk bersetuju dengan pemberhentian serangan sementara di lokasi khusus bagi membolehkan bantuan diagihkan dalam Gaza.
Pegawai kesihatan Gaza berkata lebih 9,770 rakyat Palestin telah terbunuh sejak 7 Oktober.-REUTERS