WASHINGTON, 10 April- Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dalam nada tegas berkata dasar Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di Gaza adalah satu kesilapan.
Komen Biden adalah sebahagian daripada kritikannya yang paling lantang terhadap Netanyahu di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat mengenai jumlah kematian orang awam akibat perang Israel-Hamas dan keadaan yang semakin buruk di Gaza.
"Saya fikir apa yang dia lakukan adalah satu kesilapan. Saya tidak bersetuju dengan pendekatannya," kata Biden kepada Univision, rangkaian TV berbahasa Sepanyol AS, apabila ditanya mengenai pengendalian perang oleh Netanyahu.
Menerusi wawancara khas di Washington itu juga, Biden mengutuk serangan dron Israel minggu lalu yang membunuh tujuh pekerja bantuan dari badan amal yang berpangkalan di AS di Gaza adalah keterlaluan.
Negara haram itu digesa segera melaksanakan gencatan senjata di wilayah berkenaan serta membenarkan akses penuh bantuan kemanusia termasuk makanan, ubat-ubatan ke Palestin.
Kenyataan beliau mengenai gencatan senjata menunjukkan perubahan daripada komen beliau sebelum ini, di mana beliau berkata tanggungjawab terletak pada Hamas untuk bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan.
Biden juga meningkatkan tekanan ke atas Israel untuk membenarkan lebih banyak bantuan ke Gaza dan mengatakan beliau telah bercakap dengan Arab Saudi, Jordan dan Mesir dan mereka bersedia untuk perkara tersebut.
"Tiada alasan untuk tidak menyediakan keperluan perubatan dan makanan mereka. Ia perlu dilakukan sekarang," katanya.-AFP