KATHMANDU, 19 Julai – Kerajaan Nepal pada Jumaat mengarahkan sekatan ke atas aplikasi pemesejan Telegram atas dakwaan ia digunakan untuk kegiatan jenayah seperti penipuan dalam talian dan pengubahan wang haram, lapor Xinhua.
Pihak Berkuasa Telekomunikasi Nepal (NTA) dalam satu notis memaklumkan semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi diarahkan untuk segera menyekat atau menutup akses kepada aplikasi berkenaan.
"Kes penipuan dalam talian semakin meningkat seiring dengan penggunaan aplikasi Telegram di Nepal, dan difahamkan aplikasi ini turut digunakan dalam jenayah serius seperti pengubahan wang haram," menurut kenyataan itu.
Tindakan tegas itu diambil susulan kebimbangan keselamatan digital dan usaha pihak berkuasa untuk membendung jenayah siber di negara berkenaan.-BERNAMA-XINHUA