fb fb fb fb fb

Nepal raikan ulang tahun ke-75 pendakian Annapurna

Foto AFP

MYAGDI, 4 Jun- Nepal meraikan 75 tahun pendakian pertama Gunung Annapurna, puncak ke-10 tertinggi di dunia.

Pendakian yang diketuai pendaki Perancis, Maurice Herzog telah mencapai puncak 8,091 meter bersama rakan senegaranya, Louis Lachenal dan pemandu Nepal, Sonam Walung Sherpa, pada 3 Jun 1950 tanpa oksigen.

Tindakan mereka ini mencetuskan sensasi di seluruh dunia.

Ia juga merupakan pendakian pertama yang berjaya di gunung melebihi 8,000 meter.

Kira-kira 200 orang berkumpul di kem asas Annapurna untuk memperingati ulang tahun itu pada hari Selasa.

Mereka bersorak gembira ketika patung emas ketiga-tiga pendaki didedahkan.

"Ini adalah peristiwa bersejarah," ujar Him Bahadur Gurung, seorang pegawai tempatan Perbandaran Luar Bandar Annapurna.

"Herzog menjadikan Nepal terkenal di dunia dengan mendaki Annapurna, ketika orang tidak tahu dan ia menjadi pengembaraan," katanya.

Ketika ulang tahun berkenaan, berpuluh-puluh individu mengambil bahagian dalam maraton sejauh 42.5 kilometer, menuruni bukit dari kem pangkalan Annapurna.

“Kami berterima kasih kepada Herzog kerana membuka pintu kepada pelancong lain sekali gus membantu membangunkan kampung kami,” kata penduduk tempatan, Radha Gurung.

Herzog menyifatkan ketibaannya di puncak sebagai detik paling indah dalam hidupnya.

Annapurna ialah pendakian berbahaya dan sukar kerana puncak Himalaya yang terdedah runtuhan salji mempunyai kadar kematian yang lebih tinggi daripada Gunung Everest.

Sejak itu, lebih 400 orang telah mencapai puncak Annapurna.

Sekembalinya ke Perancis, Herzog disambut seperti bintang filem.

Tiga tahun selepas pendakian mereka, Tenzing Norgay dan Edmund Hillary melangkah ke puncak Everest buat kali pertama.

Herzog meninggal dunia ketika berusia 93 tahun di Perancis pada 2012.- AFP

NORAINI BINTI WAHIB