fb fb fb fb fb

Nepal larang penerbangan helikopter tidak penting untuk tempoh dua bulan

FOTO AFP

KATHMANDU, 14 Julai- Pengawal selia penerbangan Nepal melarang helikopter melakukan penerbangan tidak penting untuk tempoh dua bulan akan datang.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal dalam kenyataan berkata penerbangan gunung, operasi muatan luar dan menabur bunga oleh helikopter dihadkan sehingga September.

Larangan itu susulan nahas maut di Everest yang meragut enam nyawa Selasa lalu.

Dalam kejadian 11 Julai itu, lima pelancong Mexico dan seorang juruterbang Nepal terkorban selepas sebuah helikopter kecil dikendalikan syarikat swasta Manang Air terhempas ketika pulang daripada sesi meninjau puncak Himalaya termasuk Gunung Everest.


(FOTO REUTERS)

Nepal sudah menubuhkan jawatankuasa siasatan bagi mencari punca nahas itu.

Kemalangan udara kerap berlaku di Nepal yang mempunyai lapan daripada 14 puncak gunung tertinggi di dunia termasuk Gunung Everest.

Januari lalu, sebuah pesawat terhempas dekat bandar pelancongan, Pokhara yang meragut 71 nyawa.- REUTERS

Media Baharu