fb fb fb fb fb

NATO lantik Mark Rutte sebagai Setiausaha Agung

Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte / Foto Reuters

BRUSSELS, 26 Jun - Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) hari ini memilih Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte sebagai Setiausaha Agung NATO yang seterusnya, ketika perang di Ukraine semakin meningkat dan ketidak pastian menyelubungi sikap masa depan Amerika Syarikat (AS) terhadap pakatan transatlantik itu.

Pelantikan Rutte menjadi formaliti selepas satu-satunya pesaingnya untuk jawatan itu, Presiden Romania Klaus Iohannis, mengumumkan minggu lalu bahawa dia telah berhenti daripada merebut jawatan itu.

Rutte akan mengambil alih pada 1 Oktober ini daripada Jens Stoltenberg dari Norway, yang meletak jawatan selepas sedekad memegang jawatan tersebut.

Duta besar daripada 32 ahli perikatan itu mengambil keputusan tersebut pada mesyuarat di ibu pejabat NATO di Brussels.

Rutte berkata dia tidak sabar-sabar untuk menyandang jawatan itu "dengan penuh semangat".

"Perikatan adalah dan akan kekal sebagai asas kepada keselamatan kolektif kami. Memimpin organisasi ini adalah tanggungjawab yang saya tidak ambil mudah," tulisnya di X.

Selepas mengisytiharkan minatnya dalam jawatan itu tahun lepas, Rutte mendapat sokongan awal daripada ahli-ahli utama perikatan itu termasuk Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Jerman.

Yang lain lebih bersifat mendiamkan diri terutamanya negara-negara Eropah Timur yang berpendapat jawatan itu harus diberikan kepada seseorang dari wilayah mereka buat kali pertama.

Namun mereka akhirnya berada di belakang Rutte, pengkritik sengit Presiden Rusia, Vladimir Putin dan sekutu tegar Ukraine.

Stoltenberg berkata, dia sangat mengalu-alukan pemilihan Rutte sebagai penggantinya.

"Mark ialah seorang transatlantik sejati, seorang pemimpin yang kuat dan pembina konsensus," katanya. "Saya tahu saya akan menyerahkan NATO di tangan yang baik."

NATO mengambil keputusan secara konsensus. Untuk itu, pemilihan Rutte yang telah meninggalkan politik Belanda selepas hampir 14 tahun sebagai Perdana Menteri, hanya dapat disahkan sebaik sahaja kesemua 32 ahli perikatan memberi sokongan kepadanya.

Rutte akan berdepan cabaran untuk mengekalkan sokongan sekutu untuk perjuangan Ukraine menentang pencerobohan Rusia sambil mengawal NATO daripada ditarik terus ke dalam perang dengan Moscow.

Dia juga turut berdepan dengan kemungkinan Donald Trump yang skeptik, NATO boleh kembali ke Rumah Putih selepas pilihan raya Presiden AS pada November.

Kemungkinan kepulangan Trump telah mengejutkan para pemimpin NATO apabila bekas presiden Republikan itu mempersoalkan kesediaan AS untuk menyokong ahli perikatan lain jika mereka diserang.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN