AHMEDABAD, 12 Jun - Nasib 242 penumpang pesawat Air India 171, Boeing 787-8 Dreamliner yang terhempas di bandar Ahmedabad, barat India, belum diketahui.
Ketika ini, Menteri Penerbangan India, Ram Mohan Naidu Kinjarapu, yang terkejut dengan nahas tersebut mengarahkan semua agensi penerbangan dan tindak balas kecemasan mengambil tindakan pantas dan diselaraskan.
"Pasukan penyelamat telah digerakkan dan segala usaha sedang dilakukan untuk memastikan bantuan perubatan dan sokongan bantuan dikejarkan ke lokasi.
"Fikiran dan doa saya bersama semua penumpang dan keluarga mereka," tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi Air India, Natarajan Chandrasekaran, mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa.
"Dengan kesedihan yang mendalam saya mengesahkan bahawa Penerbangan 171 Air India yang beroperasi di Ahmedabad ke London Gatwick terlibat dalam kemalangan tragis hari ini.
"Perasaan dan ucapan takziah kami ditujukan kepada keluarga dan orang tersayang yang terjejas dengan peristiwa dahsyat ini," kata Chandrasekaran.
Dalam pada itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam India memaklumkan pesawat itu terhempas sejurus berlepas.
"Pesawat Air India sempat mengeluarkan panggilan kecemasan dan terhempas serta-merta selepas berlepas", kata Direktorat Jeneral Penerbangan Awam. -AFP