fb fb fb fb fb

Nahas tiga kereta api: Ahli keluarga 'kecewa' lihat keadaan mayat

(Mayat mangsa tragedi perlanggaran tiga buah kereta api berhampiran Balasore di India
pada 3 Jun 2023/AFP)

BALASORE, 4 Jun- Ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden kemalangan tiga buah kereta api berhampiran sini di Odisha, India pada Jumaat yang membunuh sekurang-kurangnya 288 orang seakan kehilangan kata-kata sebaik melihat keadaan mangsa.

Pegawai polis, Ranajit Nayak yang bertanggungjawab menguruskan mayat mangsa untuk diserahkan kepada ahli keluarga berkata, kebanyakan mayat sangat cacat sehingga ramai keluarga 'kecewa' kerana hanya dapat melakukan pengecaman orang tersayang menerusi cebisan barang kemas.

“Terdapat mayat yang tinggal tubuh badan sahaja, muka terbakar sepenuhnya, tengkorak cacat dan tiada lagi tanda identiti yang boleh dilihat,” katanya di sini.

Tambah Ranajit, beberapa mayat mungkin akan melalui proses pengecaman menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berikutan keadaan mayat yang hancur.

Sementara itu, seorang penumpang dikenali sebagai Anubhav Das, 27, yang terselamat dalam kejadian itu menceritakan detik cemas yang dilalui.

“Saya melihat adegan berlumuran darah, mayat remuk dan seorang lelaki terputus tangan sedang bermati-matian dibantu oleh anak lelakinya yang cedera,” kata Anubhav Das kepada AFP.

Perdana Menteri, Narendra Modi juga telah turun melawat lokasi nahas dan mangsa cedera di hospital.

Beliau tegas mengatakan bahawa pihak bertanggungjawab akan diheret ke muka pengadilan dan dia tidak akan 'diselamatkan'.

"Saya berdoa agar kita keluar daripada detik sedih ini secepat mungkin," katanya.

(Salah seorang ahli keluarga mangsa tragedi perlanggaran tiga buah kereta api
berhampiran 
Balasore di India pada 3 Jun 2023/AFP)

Artikel berkaitan:
Angka kematian perlanggaran kereta api di India bertambah
Nahas tiga kereta api: Pihak bertanggungjawab sudah dikenal pasti - Menteri

Media Baharu