fb fb fb fb fb

Myanmar lanjutkan perintah darurat selama enam bulan

Foto Reuters

YANGON, 31 Januari – Junta yang memerintah Myanmar melanjutkan perintah darurat selama enam bulan lagi, lapor media rasmi pada Jumaat.

Pengumuman itu dibuat sehari sebelum ulang tahun keempat rampasan kuasa yang menjerumuskan negara itu ke dalam krisis selepas sedekad mengalami demokrasi bersifat sementara.

Myanmar kini terperangkap dalam perang saudara yang tercetus selepas tentera menggulingkan kerajaan awam yang dipilih secara demokratik, yang diterajui pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi.

Junta merancang untuk mengadakan pilihan raya tahun ini, namun ia dikritik sebagai satu helah untuk mengekalkan kuasa melalui proksi.

“Masih banyak tugas yang perlu diselesaikan bagi memastikan pilihan raya umum dapat diadakan dengan jayanya. Terutama sekali, kestabilan dan keamanan masih diperlukan bagi membolehkan pilihan raya yang bebas dan adil,” menurut laporan stesen penyiaran milik kerajaan, MRTV, di saluran Telegramnya ketika mengumumkan lanjutan perintah darurat itu.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN