fb fb fb fb fb

Musk tawar teruskan perjanjian pembelian Twitter pada harga asal

(FOTO AFP)

SAN FRANCISCO, 5 Oktober- Elon Musk menawarkan untuk meneruskan pembelian Twitternya pada harga asal yang dipersetujui, ketika perbicaraan berhubung hasratnya menarik diri daripada perjanjian itu semakin hampir.

Lelaki terkaya di dunia itu berkata dalam satu makluman kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa bahawa beliau telah menghantar surat untuk meneruskan kontrak itu.

Perubahan terbaharu dalam kemelut yang telah lama berterusan itu berlaku menjelang perbicaraan mahkamah kes yang difailkan oleh Twitter dalam usaha untuk memastikan CEO Tesla itu melunaskan perjanjian yang ditandatanganinya pada April.

Kebarangkalian pengurusan Musk mengambil alih laman media sosial yang berpengaruh telah mencetuskan kebimbangan daripada aktivis yang khuatir beliau boleh membuka pintu kepada siaran yang lebih kesat dan salah maklumat.

"Kami menulis untuk memberitahu anda bahawa pihak Musk berhasrat untuk meneruskan transaksi," menurut salinan surat kepada Twitter yang difailkan dengan SEC.

(Musk tawar teruskan perjanjian pembelian Twitter pada harga asal)

Twitter mengesahkan kepada AFP bahawa ia menerima surat daripada Musk, yang memaklumkan beliau berhasrat untuk meneruskan perjanjian pembelian pada harga yang dipersetujui iaitu AS$54.20 sesaham.

Syarat yang dinyatakan dalam surat Musk termasuk bahawa mahkamah menghentikan tindakan dalam tuntutan perundangan terhadapnya. Beliau sebelum ini dijadual untuk disoal oleh peguam Twitter akhir minggu ini.

Lelaki berusia 51 tahun itu menerusi twitnya menyatakan bahawa membeli Twitter "adalah mempercepat untuk mencipta X, aplikasi segala-galanya". -AFP

Media Baharu