fb fb fb fb fb

55 migran maut selepas bot terbalik di perairan Yaman

Gambar fail menunjukkan penduduk Yaman mencari mangsa yang terselamat selepas sebuah bot yang membawa migran karam di perairan wilayah Shabwah pada 11 Jun 2024/Foto AFP

SANAA (Yaman), 4 Ogos - Sekurang-kurangnya 55 migran Afrika tanpa dokumen sah maut selepas bot yang mereka naiki terbalik di perairan selatan Yaman, menurut pihak berkuasa pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.

Sumber keselamatan memaklumkan bahawa bot yang membawa puluhan migran, kebanyakannya dari Ethiopia karam di pesisir wilayah Abyan pada waktu subuh akibat cuaca buruk.

Pengarah Pejabat Kesihatan di Zinjibar, Abdel Qader Bajameel berkata 54 mayat warga Ethiopia dan satu mayat warga Yaman berjaya ditemukan.

Pihak berkuasa masih giat mencari puluhan mangsa lain yang masih hilang.

Terdahulu pada Ahad, Polis Abyan dalam satu kenyataan berkata pasukan penyelamat sedang menjalankan operasi kemanusiaan berskala besar bagi mengesan dan mengurus mayat mangsa.

Menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), lebih 60,000 migran tanpa memiliki dokumen sah tiba di Yaman sepanjang 2024.

Yaman merupakan antara destinasi utama bagi ratusan migran dari Afrika khususnya dari Somalia dan Ethiopia, yang mengambil risiko merentasi laluan berbahaya demi mendapatkan kehidupan yang lebih baik. - BERNAMA-ANADOLU

GRACE AISYAH KEDAYAN