fb fb fb fb fb

Montana haramkan aplikasi TikTok

(FOTO AFP)

HELENA, 15 April- Ahli Parlimen Montana meluluskan Rang Undang-Undang untuk melarang aplikasi video pendek popular TikTok daripada beroperasi di negeri itu, ancaman terbaharu terhadap kewujudan aplikasi milik China berkenaan di Amerika Syarikat (AS).

Rang Undang-Undang itu yang dikenali sebagai SB 419 akan melarang kedai aplikasi mudah alih daripada menawarkan TikTok untuk dimuat turun kepada pengguna di Montana.

Apple dan Google, yang mengendalikan aplikasi mudah alih TikTok akan berdepan denda sekiranya melanggar larangan itu.

Rang Undang-Undang itu kini dalam proses untuk ditandatangani oleh Gabenor Montana, Greg Gianforte.

"Gabenor akan mempertimbangkan dengan teliti sebarang Rang Undang-Undang yang dihantar oleh badan perundangan ke mejanya," kata jurucakap pejabat gabenor Montana.

TikTok dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan terus memperjuangkan pengguna dan pencipta TikTok di Montana.

TikTok, yang dimiliki oleh syarikat teknologi China ByteDance berdepan pengharaman yang semakin meningkat daripada beberapa penggubal undang-undang di AS atas kebimbangan mengenai potensi pengaruh kerajaan China ke atas platform itu.

Bulan lalu, jawatankuasa kongres menyiasat Ketua Eksekutif TikTok, Shou Zi Chew mengenai sama ada kerajaan China boleh mengakses data pengguna AS pada aplikasi itu.

TikTok yang mempunyai lebih 100 juta pengguna berulang kali menafikan bahawa ia pernah berkongsi data dengan kerajaan China dan berkata syarikat berkenaan tidak akan berbuat demikian jika diminta. - REUTERS


(FOTO FAIL/ REUTERS)

Media Baharu