fb fb fb fb fb

Kes seludup dadah, JKDM diarah sedia laporan lengkap - PM

(FOTO AFP)

SUNGAI PETANI, 15 April - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) diarah menyediakan laporan lengkap dan terperinci berhubung rampasan 336 kilogram dadah dalam sebuah kontena melalui Pelabuhan Klang ke Brisbane, Australia pada 13 Mac lepas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata laporan penuh kejadian perlu dikemukakan dalam tempoh dua minggu.

Sambil menyifatkan kejadian yang berlaku sebagai mengaibkan negara, Anwar berkata kerajaan memandang serius kejadian berkenaan dan mengarahkan siasatan terperinci dilakukan agensi penguatkuasaan, termasuk memastikan perkara itu tidak berulang pada masa depan.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

"Saya dimaklumkan mengenai penyeludupan besar dadah ke Australia, yang mengaibkan jika dibuktikan sah ialah penyeludupan besar-besaran itu melalui Pelabuhan Klang.

"Soalnya, bagaimana dalam sistem yang canggih sekarang boleh bolos begitu besar jumlah dadah melalui Pelabuhan Klang. Jadi, saya minta pihak JKDM beri laporan penuh apa yang berlaku.

"Bagaimana sudah berbelas kali perkara demikian boleh berlaku sehingga ditangkap di Australia. Ini menunjukkan kelemahan kita yang perlu diatasi segera," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni dan Iftar Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani, di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Anwar turut mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu dalam menjalankan siasatan kes yang dianggap mengejutkan negara berkenaan.

Katanya, kerajaan tidak akan bertolak ansur dalam mengambil tindakan tegas dalam kes penyeludupan berkenaan kerana keutamaan ketika ini adalah memastikan tata kelola pentadbiran yang baik.

"Saya minta PDRM terutama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) juga bersama dalam siasatan ini. Dalam tempoh satu ke dua minggu, kita mahu laporan penuh bagi memastikan penyeludupan ini boleh dihalang.

"Ini bukan soal kecil, bukan soal ratusan juta wang, tapi ia menunjukkan kelemahan dalam sistem negara. Dalam keadaan kita bicara tentang tata kelola kerajaan yang baik, menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa, maka penyeludupan ini dianggap serius," katanya.

Media Baharu