fb fb fb fb fb

Mogok pekerja di Izmir, berakhir selepas seminggu

Foto www.turkishminute.com

IZMIR, 5 Jun - Satu mogok besar selama seminggu melibatkan lebih 20,000 pekerja majlis bandar di Izmir, bandar ketiga terbesar di Turki dan kubu kuat pembangkang, telah berakhir, menurut pemimpin kesatuan dan Datuk Bandar tempatan pada hari Rabu.

"Rundingan telah berakhir dengan satu perjanjian," kata Datuk Bandar Cemil Tugay.

Beliau memaklumkan bahawa para pekerja telah bersetuju dengan kenaikan gaji retroaktif sebanyak 30 peratus bagi enam bulan pertama tahun ini, serta kenaikan 19 peratus bermula Julai.

Mogok yang dilakukan oleh Konfederasi Kesatuan Pekerja Progresif (DISK), melibatkan kira-kira 23,000 pekerja bertujuan untuk menghapuskan perbezaan gaji antara kakitangan majlis yang diwakili oleh kesatuan lain.

Izmir, sebuah bandar pelabuhan utama di pantai Aegean Turki, merupakan kubu tradisional Parti Rakyat Republikan (CHP), iaitu parti pembangkang utama kepada Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Mogok ini berlaku ketika Turki sedang bergelut dengan kadar inflasi tahunan melebihi 35 peratus menurut angka rasmi walaupun angka ini dipertikai oleh beberapa penyelidik bebas yang mendakwa kadar sebenar jauh lebih tinggi.

Dengan banyak perkhidmatan majlis tergendala, longgokan sampah telah menimbun di tepi jalan, dan media tempatan menyiarkan rakaman Datuk Bandar turut serta dalam usaha memungut sampah pada hari Ahad. - AFP

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE