fb fb fb fb fb

Brazil umum wabak selesai, jangka eksport ayam pulih dalam masa terdekat

Foto AFP

BRAZIL, 5 Jun - Brazil pada Rabu mengumumkan bahawa negara itu telah berjaya mengawal wabak selesema burung yang sebelum ini memaksanya menggantung eksport daging ayam ke China dan 20 negara lain bulan lalu.

Negara pengeksport daging ayam terbesar di dunia itu terpaksa menghentikan eksport ke China serta Kesatuan Eropah dan beberapa negara Amerika Latin selepas berlakunya wabak selesema burung patogenik tinggi (HPAI) di sebuah ladang di negeri selatan, Rio Grande do Sul.

Menteri Pertanian, Carlos Favaro berkata, bahawa ladang berkenaan telah dibersihkan dan kini dikuarantin selama 28 hari seperti yang ditetapkan.

Brazil hanya boleh diisytiharkan bebas selesema burung selepas tempoh kuarantin itu tamat.

Namun menurut Favaro, separuh daripada tempoh tersebut telah berlalu dan tiada haiwan yang mati.

"Wabak tersebut telah dapat dikawal," tambahnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan telah memulakan rundingan dengan negara pengimport untuk melonggarkan sekatan yang dikenakan dan menjangkakan keadaan akan kembali normal dalam tempoh 15 hingga 20 hari selepas kuarantin tamat.

Brazil mengeksport kira-kira 30 peratus daripada jumlah pengeluaran ayamnya.

China merupakan pengimport utama, menerima sebanyak 562,000 tan ayam dari Brazil pada tahun 2024, iaitu lebih 10 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport.

China dan Kesatuan Eropah menggantung import dari seluruh negara Brazil, manakala negara lain hanya mengenakan sekatan ke atas wilayah yang terjejas.

Favaro berkata tiada kebimbangan berbangkit walaupun satu lagi kes selesema burung yang kelima disahkan pada Selasa di zoo Brasilia, yang ditutup selepas seekor merpati liar dan seekor itik ditemui mati pada akhir Mei.

Menurut beliau, kes yang melibatkan burung liar tidak memberi sebarang kesan terhadap sekatan yang dikenakan ke atas industri ternakan ayam. - AFP

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE