SRINAGAR, 7 Jun - Perdana Menteri India, Narendra Modi melancarkan projek laluan kereta api strategik bernilai berbilion dolar, menghubungkan New Delhi dan Kashmir.
Perasmian itu merupakan lawatan pertamanya ke wilayah yang digelar sebagai 'Permata Mahkota India' sejak konflik dengan Pakistan melibatkan pertumpahan darah di wilayah Jammu-Kashmir baru-baru ini.
"Acara hari ini adalah upacara bagi meraikan kesatuan dan perpaduan kita. Ia adalah simbol dan perayaan kebangkitan India," kata Modi selepas melintasi jambatan tersebut sebagai simbolik untuk melancarkan secara rasmi projek kereta api itu.
New Delhi memanggilnya 'Chenab' sebagai jambatan gerbang kereta api tertinggi di dunia, yang terletak 359 meter (1,117 kaki) daripada aras sungai.
Perkara itu disahkan Guinness World Records yang menyatakan ketinggian 'Chenab' mengatasi jambatan kereta api tertinggi sebelum ini iaitu Najiehe di China.
"Projek kereta api itu adalah pencapaian seni bina luar biasa yang akan memudahkan kesaling hubungan dengan menyediakan sambungan kereta api pertama dari dataran India sehingga ke pergunungan Kashmir," beliau berkata di hadapan tetamu yang hadir.
Dengan 36 terowong dan 943 jambatan sepanjang 272 kilometer, ia akan menghubungkan Udhampur, Srinagar dan Baramulla.
Ia juga dijangka mengurangkan separuh masa perjalanan kepada sekitar tiga jam antara bandar Katra di wilayah Jammu, bandar utama di Kashmir yang dihuni majoriti Hindu dan Srinagar.
Laluan baharu itu akan memudahkan pergerakan penumpang, barangan serta tentera, yang sebelum ini hanya boleh dilakukan melalui jalan gunung yang berbahaya atau melalui udara. - AFP