ACCRA, 3 Julai- Perdana Menteri India, Narendra Modi memulakan lawatan dua hari ke Ghana pada Rabu, lawatan pertama oleh pemimpin tertinggi India dalam tempoh 30 tahun, dengan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam aspek keselamatan, pembangunan ekonomi dan pengeluaran vaksin.
Dalam pertemuan bersama Presiden Ghana, John Dramani Mahama, kedua-dua pemimpin membincangkan peluasan kerjasama dalam bidang pertahanan dan keselamatan termasuk latihan angkatan tentera serta keselamatan siber.
"Kami membincangkan kerjasama dalam pengeluaran vaksin. Dalam bidang pertahanan dan keselamatan, kami akan bergerak ke hadapan berlandaskan mantra 'keselamatan melalui solidariti'.
Kami akan mempertingkatkan kerjasama dalam aspek seperti latihan angkatan tentera, keselamatan maritim, pembekalan pertahanan serta keselamatan siber," kata Modi dalam sidang media bersama.
Mahama pula memaklumkan bahawa beberapa memorandum persefahaman telah dimeterai bagi memperkukuh kerjasama dalam sektor pertanian, tenaga dan kesihatan.
Beliau turut mengimbas hubungan bersejarah antara kedua-dua negara yang terjalin sejak era Presiden pertama Ghana, Kwame Nkrumah, dan Perdana Menteri pertama India, Jawaharlal Nehru.
Modi turut memberi jaminan untuk membantu usaha menjadikan Kesatuan Afrika sebagai ahli tetap G20 semasa India memegang jawatan pengerusi.- REUTERS