WASHINGTON, 19 Julai – Microsoft pada Jumaat mengumumkan syarikat itu akan menghentikan penggunaan jurutera berpangkalan di China untuk memberikan bantuan teknikal kepada tentera Amerika Syarikat (AS), susulan laporan yang diterbitkan oleh portal kewartawanan penyiasatan, ProPublica.
Laporan berkenaan mendedahkan Microsoft telah menggunakan jurutera dari China bagi bekerja dalam sistem pengkomputeran awan tentera AS, di bawah pemantauan “pengiring digital” rakyat Amerika yang diambil melalui subkontraktor. Namun, pengiring tersebut didakwa tidak memiliki kepakaran teknikal mencukupi untuk menilai sama ada kerja yang dilakukan itu menimbulkan ancaman keselamatan siber.
Microsoft, yang merupakan salah satu kontraktor utama kerajaan AS, sebelum ini pernah mengalami pencerobohan sistem oleh penggodam dari China dan Rusia. Syarikat itu memberitahu ProPublica bahawa mereka telah memaklumkan amalan tersebut kepada kerajaan AS semasa proses kelulusan.
Susulan pendedahan itu, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, dalam satu video yang dimuat naik di platform X pada Jumaat, mengarahkan satu semakan selama dua minggu terhadap semua kontrak perkhidmatan awan melibatkan Jabatan Pertahanan.
“Saya umumkan bahawa bermula serta-merta, China tidak akan terlibat langsung dalam mana-mana perkhidmatan awan milik tentera kita,” tegas beliau. “Kami akan terus memantau dan menangkis sebarang ancaman terhadap infrastruktur ketenteraan serta rangkaian dalam talian negara.”-REUTERS