fb fb fb fb fb

Khemah pelarian Gaza dibom, penduduk dakwa cuba diusir

FOTO REUTERS

GAZA, 19 Julai – Ketegangan terus memuncak di Gaza apabila penduduk yang dipindahkan secara paksa mendakwa serangan terbaharu Israel menyasarkan khemah pelarian di barat Gaza adalah usaha untuk memaksa penduduk Palestin berpindah ke selatan.

Dalam serangan Selasa malam, empat peluru berpandu Israel menyasarkan khemah sementara di kawasan itu, mengorbankan tujuh orang awam.

Mohammed Hassan, yang kini berlindung bersama enam anaknya di kawasan berkenaan berkata, dia berpindah ke barat Gaza mengikut arahan tentera Israel dengan harapan akan selamat, tetapi sebaliknya berdepan siri serangan udara berterusan.

“Kami dipaksa berpindah sekali lagi. Sebelum ini, kami tinggal di sini selama 20 hari dan menyaksikan sekitar enam atau tujuh serangan, semuanya sangat hampir dengan tempat kami berlindung,” katanya.

Tentera Israel didakwa sedang melaksanakan tekanan sistematik terhadap orang awam untuk memaksa mereka bergerak ke selatan sebagai sebahagian daripada pelan penubuhan “zon kemanusiaan” di Rafah, Gaza selatan.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mencadangkan pelan itu pada 7 Julai, bermula dengan usaha memindahkan 600,000 rakyat Palestin dari zon kemanusiaan sebelum ini di al-Mawasi, berhampiran Khan Younis, ke zon baru yang dicadangkan. Pelan akhir adalah menempatkan keseluruhan populasi Gaza di zon tersebut, membenarkan kemasukan, tetapi tidak keluar.

Ramai penduduk yang menjadi pelarian mendakwa pelan tersebut hanyalah helah untuk menutup niat sebenar Israel, mengusir keseluruhan penduduk Palestin dari Semenanjung Gaza.

“Israel mahu semua orang ditolak ke Rafah dan selepas itu mengusir keseluruhan penduduk Gaza,” kata Amir Al-Helou, salah seorang pelarian yang dipindahkan.

“Tak ada apa yang ‘kemanusiaan’ tentang zon kemanusiaan Israel. Tengok sekeliling, orang mati kelaparan. Kalau keluar cari makanan, kami dibom,” kata seorang lagi pelarian, Bassam Nasser.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE