fb fb fb fb fb

Mexico gagal hentikan dagangan haram hidupan liar - AS

(Vaquita, ikan lumba-lumba terkecil muncul di perairan San Felipe, Mexico/REUTERS)

MEXICO, 27 Mei– Setiausaha dalam negeri Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat mengisytiharkan bahawa Mexico telah gagal menghentikan perdagangan haram hidupan liar yang mengancam spesies ikan lumba-lumba terkecil di dunia, vaquita.

Vaquita, berasal dari Teluk California Mexico, terancam oleh penangkapan ikan Totoaba untuk pasaran gelap.

Pundi kencingnya sangat bernilai di Asia kerana digunakan dalam perubatan tradisional.

Bagaimanapun kerajaan Mexico berada sukar untuk membanteras penangkapan ikan secara haram itu.

“Kerajaan Mexico gagal membendung aktiviti haram dan eksport komersial totoaba,” kata Setiausaha Dalam Negeri AS, Deb Haaland.

Dalam surat pemberitahuan kepada Kongres AS, "perdagangan haram ini mempunyai kesan negatif langsung terhadap kelangsungan hidup vaquita."

Bawah undang-undang AS, presiden boleh melarang pengeksportan dagangan ke sesebuah negara bagi produk hidupan liar dan mengehadkan import lain dari negara yang dianggap boleh menjejaskan keberkesanan mana-mana perjanjian antarabangsa.

Kerajaan Mexico tidak segera bertindak balas terhadap permintaan itu. Pada Khamis, kerajaan berkata, pelan "tindakan segera" sedang dilakukan untuk melindungi vaquita.

Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam (CITES) pada Mac berkata Mexico gagal untuk menyampaikan rancangan yang sesuai untuk melindungi totoaba.

Aktiviti menangkap totoaba secara berleluasa boleh menyebabkan spesies vaquita pupus kerana mamalia laut boleh terjerat dalam pukat yang dibuang oleh nelayan haram.

Sarah Uhlemann, pengarah program antarabangsa di Pusat Kepelbagaian Biologi yang berpangkalan di AS, berkata sekatan perdagangan adalah penting kerana tanpa tekanan antarabangsa, vaquita boleh pupus.- REUTERS

(Foto hiasan)

Media Baharu