(Foto REUTERS)
KIEV, 27 Mei- Dua individu maut, manakala 30 orang lagi cedera dalam serangan peluru berpandu Rusia yang menyasarkan sebuah klinik di Dnipro, timur Ukraine.
Presiden Volodymyr Zelensky menyifatkan serangan itu sebagai jenayah kemanusiaan.
Rakaman video menunjukkan bangunan musnah serta pekerja lari menyelamatkan diri.
Sebahagian besar tingkat atas di bangunan tiga tingkat itu rosak teruk dengan mayat bergelimpangan di tepi jalan.
"Satu lagi serangan peluru berpandu (Rusia), satu lagi jenayah terhadap kemanusiaan," tulis Zelensky di Twitter.
(Serangan peluru berpandu Rusia yang menyasarkan sebuah klinik di Dnipro, timur Ukraine/REUTERS)
Beliau berkata serangan menyasarkan sebuah klinik psikologi dan klinik veterinar, hanya negara jahat yang menyasarkan klinik. Tidak ada tujuan ketenteraan dalam hal ini. Ia adalah keganasan sebenar Rusia", katanya.
Kementerian Pertahanan Ukraine menyifatkan serangan itu sebagai jenayah perang yang serius di bawah Konvensyen Geneva yang menetapkan bagaimana askar dan orang awam harus dilayan dalam peperangan.
Kementerian Pertahanan Rusia berkata telah melakukan serangan semalaman ke atas depot peluru Ukraine.
Moscow menolak dakwaan tenteranya telah melakukan jenayah perang dan menyasarkan orang awam, meskipun serangan udaranya sering menyasarkan infrastruktur awam, termasuk kediaman dan kemudahan awam.-REUTERS