fb fb fb fb fb

Mexico, Chile gesa ICC siasat perang Israel-Hamas

Orang ramai memprotes menyokong rakyat Palestin di Gaza ketika konflik antara Israel dan Hamas berterusan, di ibu pejabat ICC di The Hague, Belanda/ REUTERS

MEXICO CITY. 19 Januari- Selepas Afrika Selatan mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICC), kini Mexico dan Chile pula turut menggesa langkah sama diambil terhadap rejim itu atas tuduhan menyebabkan ribuan penduduk Palestin terbunuh.

Menurut Kementerian Luar Mexico, tindakan itu dilakukan berikutan kebimbangan terhadap keganasan Israel yang semakin melampau, menyasarkan orang awam, dan dakwaan jenayah berterusan, yang termaktub di bawah bidang kuasa mahkamah.

"Dakwaan jenayah itu khususnya berlaku sejak serangan 7 Oktober lalu dan permusuhan seterusnya di Gaza," menurut kenyataan kementerian luar Mexico.

Sementara itu, Menteri Luar Chile, Alberto van Klaveren pula menyatakan negara itu menyokong penyiasatan terhadap sebarang kemungkinan jenayah perang.

"Ia sama ada jenayah perang yang dilakukan oleh Israel atau Palestin," katanya pada sidang akhbar di Santiago.

Tindakan dua negara itu menyusuli gesaan Afrika Selatan, Bangladesh, Bolivia, Comoros dan Djibouti untuk siasatan ICC terhadap konflik antara Palestin dan Israel, walaupun ia bukan ahli ICC.

Terdahulu , ICC membuka siasatan ke atas Israel serta Hamas dan kumpulan bersenjata Palestin lain bagi dakwaan jenayah perang di wilayah Palestin pada 2021.

November lalu, pendakwa raya ICC, Karim Khan, berkata bahawa siasatan kini ditingkatkan kepada peningkatan permusuhan dan keganasan sejak serangan yang berlaku pada 7 Oktober lalu.

Peperangan yang sudah melebihi 100 hari itu memusnahkan Gaza apabila pejuang Hamas melancarkan serangan yang mengakibatkan kematian kira-kira 1,140 orang, berdasarkan data rasmi AFP.

Kementerian Kesihatan Gaza pula memaklumkan, Israel kemudiannya melakukan serangan udara dan darat yang membunuh lebih 24,600 rakyat Palestin, kira-kira 70 peratus daripada mereka wanita dan kanak-kanak. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI