SANAA, 19 Januari- Kumpulan pemberontak Houthi di Yaman mendakwa mereka melakukan serangan peluru berpandu ke atas kapal Amerika Syarikat (AS) di Teluk Aden, awal pagi ini.
Melalui kenyataan di media sosial, pemberontak Houthi mendakwa pasukan 'tentera laut' mereka telah menyerang kapal, Chem Renjer "dengan beberapa peluru berpandu tepat pada sasaran.
Namun, Houthi tidak memberikan sebarang maklumat lanjut termasuk masa serangan terbaharu itu, yang dilakukan di laluan perkapalan antarabangsa Laut Merah.
Pencerobohan Houthi terhadap kapal di Laut Merah telah menyebabkan serangan dilancarkan terhadap Yaman oleh tentera AS dan British, malah AS turut melaporkan serangan terbaharunya ke atas sasaran Houthi, semalam.
Dalam pada itu, syarikat pengurusan risiko maritim Britain, Ambrey, memaklumkan Chem Ranger adalah kapal tangki kimia milik Kepulauan Marshall, AS.
"Tiada anak kapal terkorban atau kerosakan dilaporkan. Chem Ranger sedang belayar dari Jeddah di Arab Saudi ke Shuwaik di Kuwait, apabila ia melaporkan dron mencurigakan mendekatinya," kata pemantau itu.
Menurut Ambrey, salah satu dron jatuh di laut kira-kira 30 meter dari kapal tangki dan sebuah kapal perang India bertindak balas terhadap serangan terbabit.
Houthi dilaporkan bukan sahaja melancarkan serangan, malah bertindak meningkatkan serangan ke atas kapal komersial di Laut Merah sejak perang Israel dan Palestin meletus pada 7 Oktober lalu.
Ketika AS mengumumkan serangan terbaharunya ke atas Houthi semalam, Presiden AS, Joe Biden, berkata mereka akan meneruskan tindakan itu sehingga pemberontak yang disokong Iran berhenti menyasarkan kapal di Laut Merah.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby, memberitahu pemberita bahawa tentera AS menyasarkan beberapa peluru berpandu anti-kapal yang dipercayai sedang bersedia untuk serangan berhampiran selatan Laut Merah.
Beberapa firma perkapalan utama bertindak menghentikan laluan mereka melalui Teluk Aden kerana serangan itu dan sebaliknya menggunakan laluan selamat mengelilingi Tanjung Harapan di Afrika Selatan walaupun jauh. - AFP