fb fb fb fb fb

Mesir usaha percepat penyampaian bantuan ke Gaza

Mesir tidak akan sekali-kali membenarkan pengosongan Semenanjung Gaza daripada penduduknya kerana kempen ketenteraan Israel mendorong mereka ke arah selatan menuju ke sempadan dengan Semenanjung Sinai / Foto Reuters

KAHERAH, 7 Disember - Mesir sedang berusaha untuk mempercepatkan penyampaian bantuan ke Semenanjung Gaza, kata seorang pegawai kanan pada Khamis, selepas jumlah bantuan yang disalurkan ke Palestin berkurangan dengan berakhirnya gencatan senjata Israel-Hamas pada 1 Disember lalu.

Diaa Rashwan, ketua Perkhidmatan Maklumat Negara berkata Mesir tidak akan sekali-kali membenarkan pengosongan Semenanjung Gaza daripada penduduknya kerana kempen ketenteraan Israel mendorong mereka ke arah selatan menuju ke sempadan dengan Semenanjung Sinai.

Rashwan menambah bahawa Mesir percaya operasi Israel di Tebing Barat yang diduduki Israel bertujuan untuk memaksa penduduk Palestin ke Jordan.

Sejak konflik di Gaza bermula pada 7 Oktober, persimpangan Rafah bersempadanan dengan Mesir menjadi satu-satunya pintu masuk bagi trak bantuan yang membawa bekalan makanan, ubat-ubatan, air dan bahan api yang sangat diperlukan.

Bilangan trak yang melintas setiap hari telah berkurangan dalam beberapa hari kebelakangan ini kepada kurang daripada 100, daripada hampir 200 ketika gencatan senjata selama seminggu dilaksanakan.

Pada Rabu, 80 trak membawa bekalan kemanusiaan dan 69,000 liter bahan api memasuki Gaza dari Mesir, menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Mesir, bersama-sama dengan PBB, telah melobi Israel untuk mempercepatkan proses pemeriksaan trak bantuan yang memerlukan kenderaan itu untuk memandu ke sempadan Mesir dengan Israel sebelum berpusing kembali ke Rafah.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN