GAZA, 21 Disember- Amerika Syarikat (AS) dilaporkan dalam proses rundingan "serius" mengenai gencatan senjata baharu Gaza dan pembebasan lebih ramai tebusan.
Namun, prospek untuk perjanjian itu masih tidak menentu atas alasan ketegasan Hamas untuk tidak membincangkan apa-apa yang berkaitan kerana Israel masih meneruskan serangan di Palestin.
Pemimpin Hamas Ismail Haniyeh ke Mesir untuk perbincangan dengan pegawai Mesir bagi melaksanakan satu lagi gencatan senjata baharu, secara kekal bukan sementara.
"Ini adalah perbincangan dan rundingan sangat serius, dan kami berharap ia akan membawa kepada satu rundingan yang baik," kata jurucakap White House John Kirby kepada pemberita di atas Air Force One pada Rabu.
Bagaimanapun penasihat media Haniyeh Taher Al-Nono memberitahu Reuters, Hamas tidak bersedia untuk membincangkan pembebasan lebih ramai tahanan Israel sehingga rejim zionis itu menamatkan kempen ketenteraannya di Gaza.
"Isu berkenaan tahanan boleh dirundingkan selepas dua perkara ini tercapai. Kita tidak boleh bercakap mengenai rundingan, sementara Israel meneruskan pencerobohannya. Membincangkan sebarang cadangan berkaitan tahanan mesti berlaku selepas pencerobohan dihentikan," kata Nono dalam satu wawancara di Kaherah.
Hamas menolak pelaksanaan genjatan senjata sementara dalam kempen ketenteraan Israel dan berkata ia hanya akan membincangkan gencatan senjata kekal.
"Kami berbincang dengan saudara kami di Mesir, menggariskan pendirian kami terhadap pencerobohan ini dan keperluan mendesak untuk menghentikannya sebagai keutamaan," kata Nono.- REUTERS