fb fb fb fb fb

Kanak-kanak Gaza kelaparan akibat sekatan bantuan makanan

Kanak-kanak Palestin membawa periuk bagi mendapatkan makanan oleh kumpulan amal/REUTERS

RAFAH, 21 Disember- Kanak-kanak yang dipindahkan ke selatan Gaza mengalami kekurangan bekalan makanan selain mengidamkan ayam. Namun setelah kehilangan ketua keluarga, hanya ibu menjadi tonggak untuk menyara mereka.

Kesemuanya kehilangan tempat tinggal berikutan serangan tentera Israel terhadap Hamas, seperti kebanyakan 2.3 juta penduduk Gaza.

Salah seorang bernama Tahany Nasr, dari khemah pelarian di Rafah; terpaksa memberi tumpuan sepenuhnya mencari bekalan makanan dan air mencukupi untuk keluarganya.

Dia berkata berat badan anak-anaknya semakin kurang dan mengalami pening kepala kerana tidak mendapat makanan mencukupi.

"Saya terpaksa mengemis mencari makanan untuk anak-anak saya, namun tidak menemui apa-apa. Saya cuba mendapatkan bantuan daripada badan hal ehwal sosial, tetapi diminta ke masjid dan apabila ke masjid diminta semula ke badan hal ehwal sosial," katanya merujuk kepada Kementerian Kebajikan Gaza yang bertanggungjawab mengagihkan barangan asas seperti tepung kepada penduduk.

Kebuluran mula melanda ratusan ribu penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal. Hanya sebahagian kecil trak bantuan yang dibenarkan masuk bagi membawa barangan keperluan.

Namun petugas bantuan juga berdepan kesukaran mengagihkan bantuan kerana penduduk berpusu-pusu ke trak untuk mendapatkan bekalan makanan.

"Kami melihat orang ramai masuk dalam keadaan tidak bermaya dan kurus," kata doktor penjagaan primer di Rafah Samia Abu Salah.

Beliau berkata penurunan berat badan dan anemia adalah perkara biasa berikutan keadaan sangat lemah dan dehidrasi. Mereka juga lebih mudah terdedah kepada jangkitan kepada dada dan keadaan kulit. Bayi dan kanak-kanak juga amat berisiko kerana ia akan merencatkan pertumbuhan mereka terjejas.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI