RIO DE JANEIRO, 5 Oktober- Mahkamah buruh Brazil mengarahkan pembuat kereta Jerman, Mercedes-Benz membayar ganti rugi 7.3 juta dolar kerana diskriminasi dan gangguan yang dialami oleh pekerja sebuah kilang di Sao Paulo.
Mahkamah di bandar selatan Campinas, di mana kilang itu terletak, berkata pekerja yang mengalami kecederaan di tempat kerja telah diketepikan semasa kembali bekerja dan terdedah kepada situasi yang memalukan dan merendahkan maruah, termasuk diskriminasi kaum.
Dokumen mahkamah menunjukkan antara 2004 dan 2019, beberapa pekerja di pusat pengedaran alat ganti dan logistik terbesar Mercedes-Benz di luar Jerman dianiaya selepas mengalami penyakit atau kecederaan di tempat kerja.
Sekembalinya bekerja daripada cuti sakit, mereka mengalami "pengasingan, termasuk pengasingan fizikal" dan "dilucutkan peluang untuk kenaikan pangkat dan kenaikan gaji selepas ditetapkan sebagai 'kumpulan berbeza'."
Seorang pekerja memberi keterangan bahawa dia digelar "anak monyet" oleh rakan sekerja ketuanya kerana tidak mampu membawa lebih daripada lima kilogram bebanan.
Mangsa memfailkan aduan dengan penyelianya sebaliknya menerima penggantungan kerja selama tiga hari.
Seorang lagi plaintif yang berkulit hitam berkata, apabila dia kembali bekerja dia diberikan tugasan seperti menghidangkan kopi dan mencuci kereta seorang pengurus, yang pernah mengejek warna kulitnya.
Hakim dalam kes itu menolak dakwaan Mercedes-Benz bahawa amalan itu adalah "insiden terpencil," sambil menambah untuk menerima penjelasan itu akan mengenepikan hak pekerja.
Mercedes-Benz masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara berkenaan.-AFP