fb fb fb fb fb

Menteri Luar Palestin adakan pertemuan dengan Presiden PBB di luar Sidang Kemuncak NAM

Pertemuan antara Menteri Luar Palestin Riyad al-Malki dengan Presiden PBB Dennis Francis di luar Sidang Kemuncak NAM di Kampala, Uganda

UGANDA, 22 Januari- Menteri Luar Negeri dan Ekspatriat Palestin, Riyad al-Malki mengadakan pertemuan dengan Presiden Sesi ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Dennis Francis, di luar Sidang Kemuncak ke-19 Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di Uganda, Kampala.

Memetik laporan agensi berita Palestin, WAFA, pertemuan itu turut disertai oleh Pemerhati Tetap PBB Negara Palestin, Riyad Mansour.

Dalam pertemuan itu, Malki memberitahu cabaran yang dihadapi dalam menangani isu Palestin susulan pencerobohan berterusan Israel terhadap rakyat Palestin, keperluan mempergiat usaha untuk mencapai gencatan senjata segera, selain meningkatkan usaha untuk memastikan akses kemanusiaan tanpa syarat dan tanpa had ke wilayah Gaza.

Beliau turut menekankan kepentingan berusaha ke arah mewujudkan politik yang membawa kepada penamatan pendudukan negara Palestin.

Sementara itu, Presiden Perhimpunan Agung PBB melahirkan rasa dukacita dan kesedihan yang mendalam terhadap penduduk Gaza susulan kekejaman Israel.

Tegasnya, kekejaman itu hanya akan berakhir dengan gencatan senjata kemanusiaan serta-merta.

“Perbincangan pelbagai hala, termasuk perhimpunan, adalah kunci untuk menyelesaikan keganasan yang berlarutan dengan bekerjasama ke arah keamanan,” katanya menerusinya platform X.

ROSLINA BINTI DIN