Jeddah, 15 April- Menteri Luar negara Teluk Arab dan rakan sejawatan dari Mesir, Iraq dan Jordan mengadakan pertemuan di Arab Saudi pada Jumaat untuk membincangkan kemungkinan penyertaan semula Syria ke Liga Negara Arab (LAS).
Menurut kenyataan Kementerian Luar Arab Saudi, mesyuarat yang diadakan di tengah-tengah ketegangan serantau itu, bagaimanapun berakhir tanpa persetujuan.
Beberapa negara Arab, termasuk Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), telah memperbaiki hubungan dengan Damsyik.
(Beberapa Menteri Luar Arab mengadakan perbincangan berkaitan krisis Syria / Foto REUTERS)
Ia berbeza berbanding pada tahun 2011 apabila banyak negara Barat dan Arab memboikot Presiden Syria, Bashar al-Assad kerana tindakan kerasnya terhadap protes.
Keahlian Syria dalam LAS digantung pada 2011 selepas Syria dilanda perang saudara, dengan tentera Presiden Bashar al-Assad berperang menentang pelbagai kumpulan bersenjata dan pengganas.
Pada tahun yang sama, Liga Arab, seiring dengan pendirian Barat, mengenakan sekatan unilateral terhadap kerajaan Assad atas dakwaan pencabulan hak asasi manusia dan penganiayaan terhadap pembangkang negara itu.-REUTERS