fb fb fb fb fb

Mati akibat keracunan makanan selepas makan sardin

(FOTO GOOGLE)

BORDEAUX, 13 September- Seorang wanita meninggal dunia di Perancis akibat keracunan makanan yang teruk, botulisme selepas makan ikan sardin di sebuah restoran minggu lalu.

Seramai 12 orang lain masih menjalani rawatan untuk penyakit yang jarang berlaku itu, kata pegawai kesihatan pada hari Rabu.

Botulisme adalah penyakit saraf serius yang biasanya berpunca daripada memakan makanan yang telah diawet dengan tidak betul.

Restoran di Bordeaux, barat daya Perancis, telah memelihara sardin itu sendiri, kata pihak berkuasa kesihatan DGS lewat Selasa.

Kewarganegara wanita yang maut, berusia 32 tahun, masih belum dikenal pasti, kata sumber yang rapat dengan kes itu.

Seorang doktor di hospital Pellegrin di sini, Benjamin Clouzeau berkata lima daripada 12 orang yang menerima rawatan kecemasan, memerlukan alat bantuan pernafasan.

Kumpulan itu termasuk warga Amerika, Ireland dan Kanada, katanya.

Seorang warga Jerman telah pulang ke negara asal untuk rawatan, begitu juga seorang penduduk Barcelona, ​​Sepanyol, kata doktor itu.

Kesemua mereka telah makan di restoran "Tchin Tchin Wine Bar" di Bordeaux, antara 4 hingga 10 September ketika terdapat ramai pelancong di bandar itu yang terkenal dengan wain dan makanannya.

Mereka semua makan ikan sardin yang disimpan sendiri oleh pemilik restoran di dalam balang, kata DGS.

Botulisme membawa maut dalam lima hingga 10% kes kerana toksin yang dihasilkan oleh bakteria clostridium botulinum boleh muncul apabila makanan yang diawet tidak disterilkan secukupnya.

Pihak berkuasa masih menjalankan ujian di restoran itu, kata DGS, sambil menambah ia tidak dapat menolak kemunculan lagi kes botulisme yang mempunyai tempoh inkubasi sehingga beberapa hari.

Ia boleh menyebabkan kelumpuhan otot selama beberapa minggu, dengan bahaya paling segera berpunca daripada otot pernafasan yang terjejas.

Akhbar tempatan Sud-Ouest memetik pemilik restoran sebagai berkata bahawa dia telah membuang beberapa balang yang mengandungi ikan sardin kerana "bau kuat" dari bekas ketika dia membukanya. -AFP

(Bordeaux/AFP)

Media Baharu